Marsden telah memperkatakan tulisan Jawi dalam buku yang ditulisnya iaitu A Grammar of the Malayan Language London pada tahun 1812. Marsden telah menyebut tentang 28 abjad Arab yang sebenarnya 29. Abjad hamzah "ء" tidak diambil kira olehnya iaitu yang dipinjam oleh bahasa Melayu dan Marsden mencipta enam abjad baru yang termasuk "ذ" dan kemudian digugurkan. Marsden menghuraikan penggunaan setiap abjad dalam perkataan dan abjad-abjad itu dinamakan sebagai konsonan seperti dalam bahasa Arab Marsden, (1812:14).
Tokoh R.O. Winstedt telah memperkatakan ejaan Jawi pada tahun 1913 dalam buku Malay Grammar yang ditulisnya. Kajian Winstedt tentang ejaan ini jelas berasaskan kajian-kajian terdahulu, terutamanya yang dilakukan oleh Marsden (1812) dan Shellabear (1901). Oleh itu, tidak banyak perkara baru yang diperkatakannya kecuali tentang tiga teori yang berkaitan dengan penggunaan huruf saksi oleh tukang tulis Jawi yang berpendidikan Arab dan kemunculan penggunaan hamzah (Winstedt, 1913: 41-42). Selain ejaan Jawi, Winstedt juga telah memperkatakan ejaan Rumi Bahasa Melayu.
Raja Ali Haji ialah tokoh yang mula-mula di kalangan Melayu memperkatakan sistem ejaan Jawi seperti yang tercatat dalam tulisannya Bustan al-Katibin. Huraian Raja Ali Haji tentang ejaan Jawi, sebenarnya merupakan panduan untuk mengenal, menyebut dan menggunakannya dalam bentuk tulisan.
Tokoh Melayu seterusnya yang memperkatakan sistem tulisan Jawi ialah Muhammad Ibrahim, iaitu anak Abdullah Munshi, yang telah menerbitkan Kitab Pemimpin Johor pada tahun 1878 M. Buku ini juga merupakan panduan tentang kaedah ejaan Jawi.
Tokoh Melayu yang mula-mula menganalisis sistem ejaan Jawi dengan bersungguh-sungguh dari segi prinsip dan segala permasalahannya ialah Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) dalam tulisannya yang bertajuk "Jawi Spelling" (JMBRAS, vol. IV, 1928, hlm. 80-104). Beliau telah memperkatakan tulisan Jawi dari segi sebab-sebab timbulnya ketidakseragaman ejaan, sistem pemvokalan dalam Jawi, sistem ejaan dalam suku kata terbuka dan tertutup, tekanan dan intonasi, kepanjangan perkembangan penggunaan abjad penggunaan abjad-abjad dan penyebutan serta pengejaan bunyi a pada akhir kata. Za’ba seterusnya menerbitkan buku Daftar Ejaan Melayu Jawi-Rumi pada tahun 1949. Beliau juga telah membincangkan kaedah ejaan Jawi dan Rumi dalam buku nahunya yang termasyhur, iaitu Pelita Bahasa Melayu penggal I (1940).
没有评论:
发表评论